ciRi – CiRi iStEri S0LehaH

Dengan nama Allah yang Maha pemurah, lagi Maha Mengasihani,

Topik yang ingin saya bawakan kepada pembaca ialah tentang ciri-ciri isteri solehah. Ini juga merupakan peringatan untuk saya  agar sentiasa menjaga akhlak dan keperibadian saya sebagai seorang wanita yang bergelar isteri. Suami merupakan insan yang sangat saya hormati dan kasihi. Semoga kasih sayang dan taat setia saya kepadanya tidak berbelah bahagi. Sesungguhnya keredhaan Allah kepada seorang isteri hanya apabila seorang isteri itu mendapat keredhaan suaminya yang soleh. Semoga redhanya sentiasa untuk saya.

Ciri-ciri isteri solehah itu ialah mengakui dan menerima kenyataan bahawa
suami ialah ketua di dalam kepimpinan keluarga sesebuah rumah tangga.

Tiada siapapun boleh menyangkal bahawa suami telah diberikan kelebihan satu darjah daripada isteri.

Satu kurniaan Allah yang meletakkan suami bertanggungjawab menjaga serta
mengawal keselamatan dan kesejahteraan perjalanan hidup keluarganya di
dunia dan di akhirat serta suami wajib memberi nafkah isteri dan
anak-anaknya.

Firman Allah: Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi
kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka
(lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki)
telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. (An-Nisa: 34).

– Memberi keutamaan hak suami kerana bagi seorang isteri tidak ada hak yang lebih utama kepadanya selain hak suami.

Aisyah r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai hak siapakah yang lebih
utama diberikan oleh seorang isteri. Rasulullah s.a.w. menjawab,
suaminya. Apabila ditanya mengenai hak siapakah yang lebih utama
diberikan oleh suami. Baginda menjawab, ibunya.  (Hadis riwayat Hakim).

Bersifat amanah iaitu menjaga maruah diri sendiri sebagai isteri dan
menjaga maruah suami terutama di dalam perkara-perkara rahsia peribadi
dan rumah tangga. Isteri ialah orang yang paling hampir kepada suami
yang tahu segala kekurangan dan kelemahan suaminya. Membuka rahsia suami
atau menyebarkannya akan menjejaskan kewibawaan suami, sekali gus
menggugat keharmonian rumah tangga kerana suami telah hilang kepercayaan
terhadap isteri.

Bijaksana mentadbir harta benda suami tanpa membazirkannya. Jangan meminta sesuatu yang  di luar kemampuannya kerana
hal yang demikian akan menyebabkan tekanan dan ketegangan di dalam kehidupan suami.

Sentiasa bersedia untuk menggembirakan hati suami, sama ada dengan tingkah laku yang menawan, tutur kata yang
menjadi penawar serta perhiasan diri zahir dan batin.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Tiada faedah yang paling baik diperoleh seorang mukmin
(suami yang beriman) selepas bertaqwa kepada Allah azza wa jalla selain
isteri yang solehah. Apabila suami menyuruhnya, ia mentaatinya. Jika
suami memandangnya ia menggembirakan hati suaminya. Sekiranya suami
bersumpah, ia memenuhi sumpah suaminya itu. Apabila ia keluar kerana
bertugas atau berjuang, ia menjaga maruahnya dan maruah suaminya serta
menjaga harta benda suaminya dengan cara berjimat cermat
membelanjakannya. (Riwayat Ibnu Majah).

Isteri wajib mentaati perintah suaminya selagi ia tidak bertentangan dengan kehendak Islam.
Tetapi sayangnya ramai di kalangan suami yang menyalahgunakan pengertian
taat ini. Mereka mengambil kesempatan untuk membebankan isteri dengan
pelbagai hal yang tidak wajar.

Berusaha menambah ilmu pengetahuan dan mempertingkatkan nilai-nilai akhlak yang murni supaya
sejajar dengan petunjuk yang diarahkan oleh Islam mengenai sahsiah seorang isteri yang seharusnya dipilih oleh suami.

Sabda Rasulullah s.a.w., Seorang wanita itu dinikahi kerana salah satu
daripada sifat-sifat utamanya; kejelitaannya, hartanya, akhlaknya dan
agamanya. Hendaklah kamu memilih wanita yang memiliki agama dan akhlak,
kamu akan beruntung kelak. (Riwayat Ahmad).

Mempunyai sifat redha, yakin diri serta tawakal kepada Allah untuk menghadapi sebarang
masalah dan cabaran hidup berkeluarga selaras dengan firman Allah,
‘ Bergaullah dengan isteri-isteri kamu menurut cara yang wajar dan baik.
Sekiranya kamu berasa tidak senang disebabkan perangai mereka,
bersabarlah mungkin dalam perkara yang kamu tidak suka itu Allah
menjadikan kebaikan yang banyak.’  (An-Nisa: 19).

Walaupun ayat ini ditujukan kepada suami, pengajaran yang terkandung amat perlu menjadi
panduan kepada para isteri. Setiap orang hendaklah menyedari hakikat
bahawa tiada seorang pun yang cukup sempurna dalam segala aspek. Oleh
kerana itu kita perlu berusaha memperbetulkannya dan menyelesaikannya.

Rasulullah memberi panduan, Janganlah seorang suami yang mukmin membenci isteri
yang mukminah disebabkan tingkah lakunya. Jika ia tidak berkenan kepada
satu daripada tingkah lakunya, tentu masih ada tingkah lakunya yang lain
amat disenanginya. (Hadis sahih).

Membantu dan menolong suaminya agar menjadi anak yang sedia berbakti kepada kedua-dua ibu
bapanya, lebih-lebih lagi ibunya yang telah lanjut usia, uzur dan miskin kerana tanggungjawab anak lelaki lebih berat dan lebih utama terhadap kedua-dua ibu bapanya.

Bersedia menjadi penyokong kuat kepada perjuangan suaminya iaitu perjuangan yang tidak menyimpang dari
garis-garis yang dibenarkan oleh Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w.,
Allah memberi rahmat kepada seorang isteri yang jika ia bangun malam dan
solat, ia membangunkan suaminya supaya sembahyang bersamanya. Tetapi
sekiranya suaminya enggan, direnjiskan air ke muka suaminya dengan penuh
kasih sayang.

Berusaha menjadi ibu yang baik, bertanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anaknya menjadi baik dan dapat melaksanakan
hukum-hakam agama, berakhlak mulia sehingga menjadi teladan kepada orang ramai.

Inilah sebahagian daripada sahsiah isteri yang seharusnya ada pada setiap wanita untuk mencapai kesempurnaan hidup berkeluarga
dan mendapat keredhaan Allah yang diharapkan oleh setiap suami seperti doa Nabi Daud a.s.: “Ya Allah, aku mohon kepada-Mu dikurniakan seorang isteri yang solehah, yang dapat membantuku menyelesaikan urusan duniaku dan urusan akhiratku.”

 

* Ya Allah, jadikanlah aku seorang isteri yang solehah, taat dan menjadi penawar bagi hati suamiku..Amin..

Respons

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s