baHaya kEtaGih maiN viDeO

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Topik yang saya nak kongsikan hari ini ialah tentang permainan di alam maya @ lebih mudah difahami sebagai permainan video. Saya tertarik membincangkan isu ini sebaik sahaja terbaca tentangnya di sebuah akhbar tempatan. Lagi pula sudah lama  saya menyimpan keinginan untuk membicarakan tentangnya.

Allah telah berfirman kepada RasulNya SAW:
“Ingatlah Tuhan di dalam hatimu dalam keadaan rendah hati dan takut, dan bukan dengan suara keras di waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau tergolong ke dalam kumpulan orang-orang yang lalai.” (Al-A’raf 205)
 
Ketagihan bermain permainan video ini adalah salah satu trend permainan kanak-kanak masa kini. Berbanding dahulu, anak-anak zaman ini lebih rela menghabiskan sebahagian besar daripada masa mereka untuk permainan video. Hobi yang akhirnya menyebabkan ‘ketagihan’ ini dikatakan menjadi salah satu punca mereka mengalami masalah gagal menguasai kemahiran bersosial dan berkomunikasi.

 

Menurut Pensyarah Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Khaidzir Ismail, sindrom itu berlaku akibat kurangnya pendedahan dan pergaulan dengan masyarakat, yang mana akhirnya mereka akan menjadi pendiam dan lebih gemar bersendirian. Selain itu juga ketagihan ini dikatakan boleh membawa kepada masalah lain seperti kemerosotan kesihatan dan pengurusan diri serta masa yang tidak teratur.

Dari sudut psikologi pula, beliau menyatakan bahawa ciri ketagihan permainan video sama seperti ketagihan lain iaitu keinginan yang sangat tinggi untuk mendapatkan sesuatu yang dikehendaki. Faktor yang mendorong ketagihan tersebut berpunca daripada unsur ganjaran dan sikap ingin mencapai tahap tertinggi dalam satu-satu permainan video.

Lebih buruk lagi  segelintir daripada mereka bukan sahaja bermain video di rumah, malahan sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk ke kafe siber. Menurut Khaidzir juga, ketagihan yang sama di kafe siber juga membimbangkan kerana kanak-kanak terdedah kepada kemungkinan terlibat dengan kejadian jenayah seperti samun dan dadah.

Pada awal tahun ini seorang remaja mati mengejut di sebuah kafe siber di Taiwan akibat kemaruk bermain permainan video selama 40 jam tanpa henti.

Pada bulan lepas, seorang remaja Amerika Syarikat berusia 15 tahun dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri selepas bermain permainan video selama empat hari tanpa henti.

Pegawai Psikologi Kanan Universiti Sains Islam Malaysia, Nurhazreen Mohd. Nor turut mengulas perkara yang sama. Menurut beliau, selain kanak-kanak, ia juga memberi kesan buruk kepada orang dewasa. Tidak terkecuali sindrom yang sama boleh menyebabkan tekanan dalan hubungan suami isteri akibat kurangnya rasa hormat antara satu sama lain.

Ketagihan permainan video ini dilihat bukan sahaja memberi kesan negatif  kepada hubungan kita dengan persekitaran tetapi lebih utama adalah mengganggu hubungan kita dengan Allah. Pengurusan masa yang sering terabai ditambah dengan keinginan untuk mencapai tahap tertinggi dalam sesuatu permainan video adalah menjadi punca seseorang meninggalkan dari melaksanakan tanggungjawab lain kepada Allah seperti mengerjakan solat.

Adalah sangat penting ibu bapa atau ahli keluarga memberikan perhatian dan sokongan kepada ahli keluarga yang mempunyai masalah ketagihan permainan video. Sesebuah institusi kekeluargaan perlulah mempunyai seseorang yang bertindak sebagai perancang untuk mengembalikan interaksi sesama ahli keluarga termasuk menghentikan tabiat ketagih permainan video ini.

Walaupun kita mampu memberikan sesuatu pembelajaran yang terbaik untuk anak-anak kita supaya mereka tidak ketinggalan dalam pembangunan arus teknologi semasa, tetapi kita sering mengabaikan pendidikan psikologi dan rohani mereka dalam menghadapi pelbagai lagi isu besar pada masa hadapan.  

Kemajuan teknologi dan kepakaran haruslah diaplikasikan untuk tujuan pembangunan kreativiti, inovasi dan kecemerlangan ummah disamping membangunkan taraf hidup manusia. Janganlah dek kerana nikmat kemajuan yang diberikan Allah ini semakin melalaikan serta menjauhkan kita dari mendapat keredhaan-Nya.

wassalam.

By khairazahra Posted in Umum

Respons

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s