hUKum waNita IStiHadah

Apabila ditanya kepada golongan wanita, masih ada juga yang tidak mengetahui mengenai istihadah. Ia wajib diketahui walaupun ada sebahagian wanita mengalami kitaran haid yang normal. Bagi yang tidak, atau melebihi hari datang haid, istihadah wajib diketahui, terutama juga bagi golongan lelaki yang sudah bergelar suami.

Istihadah ialah darah yang keluar secara berterusan bagi seorang wanita atau mungkin terputus sekejap seperti sehari-dua dalam sebulan.

Berikut adalah hukum-hukum yang diwajibkan ke atas wanita yang beristihadah. Apabila seorang wanita telah memastikan bahawa dia sedang mengalami pendarahan istihadah dan bukan haid, maka hukum-hukum yang diwajibkan ke atasnya adalah sama sepertimana wanita yang suci kecuali dalam tiga perkara berikut:

Pertama:

Wanita yang beristihadah wajib berwudhu’ setiap kali hendak solat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW kepada Fathimah binti Abi Hubaisy RA di dalam Shahih al-Bukhari – no: 228: “Kemudian hendaklah kamu berwudhu’ pada setiap solat.” Hadis ini memberi makna bahawa dia tidak berwudhu’ untuk solat yang berwaktu kecuali selepas masuk waktunya. Adapun bagi solat yang tidak berwaktu (seperti solat sunat) maka dia berwudhu’ ketika hendak melaksanakannya.

Kedua:

Apabila wanita yang beristihadah hendak berwudhu’, hendaklah dia membasuh kesan darah dan mengikat farajnya dengan cebisan kain yang dilapik dengan kapas supaya dapat menahan darah (memakai tuala wanita). Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW kepada Himnah RA :

“Aku akan terangkan untuk kamu (cara menggunakan) al-Kursuf (kapas yang diletakkan di faraj), sesungguhnya ia dapat menghilangkan darah. ”Himnah berkata: “Ia (darah saya) lebih banyak dari demikian itu”.
Rasulullah bersabda: “Maka hendaklah kamu mengekangnya (mengikatnya)….”

[Sunan al-Tirmizi – no: 118 (Kitab al-Thaharah) dan beliau berkata: Hadis ini hasan sahih]

Apa yang keluar (apa-apa pendarahan) selepas itu tidaklah memudaratkan (tidak membatalkan wudhu’) berdasarkan hadis berikut riwayat Ahmad dan Ibn Majah:

“Wahai Rasulullah, Sesungguhnya aku seorang wanita yang mengalami istihadah sehingga aku tidak suci, apakah aku patut meninggalkan solat? Tidak, hendaklah kamu jauhi solat pada hari-hari haidmu (sahaja) kemudian hendaklah kamu mandi dan berwudhu’ untuk setiap solat kemudian dirikanlah solat walaupun darah menitis jatuh ke atas tikar.

[Musnad Ahmad – no: 25681 dan disahihkan oleh Syu‘aib al-Arnauth]

Ketiga:

Mengenai bersetubuh, maka para ilmuan berselisih pendapat mengenai kebolehannya. Pendapat yang sahih adalah ianya harus (dibolehkan) tanpa sekatan berdasarkan sebab-sebab berikut:

Merupakan satu kelaziman bagi para wanita pada zaman Rasulullah SAW mengalami istihadah. Akan tetapi Allah dan Rasul-Nya tidak pernah menegah para suami daripada menyetubuhi isteri mereka.

Allah SWT berfirman bermaksud:

Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu. [

[al-Baqarah 2:222]

Ayat ini menjadi dalil bahawa larangan bersetubuh hanyalah ke atas isteri yang sedang haid, tidak selain itu.

Jika diharuskan solat bagi wanita yang beristihadah, maka sudah tentu diharuskan juga bersetubuh kerana bersetubuh adalah sesuatu yang lebih kecil berbanding solat.

Pendapat yang melarang bersetubuh mengqiyaskan wanita yang beristiadhah dengan wanita yang haid. Ini adalah qiyas yang tidak benar kerana wanita istihadah dan wanita haid adalah dua kes yang berlainan.

Melayukini.net – Semoga persoalan ini terjawab terutamanya bagi kaum hawa yang mengalami masalah kitaran haid. Nasihat buat suami juga, sebagai seorang lelaki kita perlu tahu mengenai jenis-jenis darah wanita.

sumber : 1001 Sirah Nabi Muhammad

Advertisements

tRageDi dahSyat di AntaKiah

 

Surah Yassin mulai ayat 13-29 menceritakan mengenai Ashabul Qaryah di mana ayat tersebut mengisahkan 2 orang utusan telah diutus kepada satu masyarakat di sebuah bandar lalu mereka ingkar dan menolak 2 utusan tersebut lalu diutuskan kepada masyarakat mereka utusan ketiga, juga dimaki, dikeji dan dihamun oleh penduduk di bandar atau kota tersebut.

Tatkala sedang mereka ingin menghapuskan rasul-rasul pembawa kebenaran datang seorang lelaki yang dikenali dengan Habibinajjar mengajak mereka untuk taat pada seruan yang di bawa. Namun mereka tetap ingkar malah Habibinajjar pula dipijak dan dibunuh. Maka Allah telah melenyapkan penduduk di situ dengan satu suara pekikan yang amat dahsyat.

Kebanyakkan Ahli Tafsir menyatakan peristiwa itu berlaku di Antakiah atau disebut Antioch. Ia merupakan sebuah bandar kecil yang kini terletak di dalam wilayah Hatay di negara Turki.

Al-Qurtubi menyatakan kota tersebut adalah Antakiah di mana 3 utusan yang diutuskan itu ialah Shadiq, Mashduq dan Syam’un. Mereka adalah pengikut Nabi Isa a.s

Antakiah terletak di Sungai ‘Asi yang bermula dari negara Lubnan melalui Syria dan berakhir di Turki. Antakiah juga terletak berhampiran persisiran pantai Lautan Mediterranean yang kini kawasan tersebut dikenali dengan Samandaq atau nama lamanya Suwaidiyyah.

Menurut sejarah, Antakiah dibangunkan oleh Selauqas I pada tahun 307 masihi dan pernah ditakluk oleh Iskandar Zulqarnain sebelumnya. Pada zaman kerajaan Islam Abassiah, bandar Antakiah ini turut menjadi wilayah penting dan dinilai sebagai kota yang indah, punyai air dan penuh kebaikkan.

Antakiah pernah menjadi wilayah Syria sebelum diambil oleh negara Turki pada 23 Julai 1939 dalam satu keputusan yang dibuat oleh Parlimen Turki. Namun hingga kini Syria masih menganggap Antakiah sebagai wilayah mereka dan ada cetakan peta negara Syria masih meletakkan Antakiah di dalam negara mereka. Oleh sebab itu, sekiranya kita berada di Antakiah, dapat dilihat masyarakatnya hampir 60% adalah bangsa arab dan mereka masih bertutur di dalam Bahasa Arab.

Di bandar inilah disemadikan jasad Habibinajjar dan salah seorang dari 3 orang utusan tersebut iaitu Syam’un. Makam mereka boleh diziarahi umum di Masjid Habibinajjar yang terletak di tengah-tengah bandar moden Antakiah (Street Kemal Pasha).

Makam Habibinajjar di Antakya, Turki

Di dalam masjid tersebut turut ditempatkan Makam Nabi Yunus A.s dan Nabi Yahya a.s. Namun kisahnya kurang jelas bagaimana kedua-dua Rasul tersebut dimakamkan disitu. Mungkin makam yang dimaksudkan hanya tempat persinggahan.

Apapun yang penting, kisah ini benar-benar telah berlaku bahkan dipahat di dalam Al-Quran dan marilah kita menghayati ayat 13-29 Surah Yassin ini dan mengambil iktibar dari kisahnya.

Surah Yassin berserta terjemahan mulai ayat 13 hingga 29 :-

 
13. Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan Yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) Iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),
14. Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) Dengan Rasul Yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya Kami ini adalah diutuskan kepada kamu ‘.
15. Penduduk bandar itu menjawab: “Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti Kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama Yang kamu dakwakan); kamu ini tidak lain hanyalah berdusta”.
16. Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui Bahawa Sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul Yang diutus kepada kamu,
17. “Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya Dengan cara Yang jelas nyata”.
18. Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya Kami merasa nahas dan malang Dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas Yang kamu katakan itu), tentulah Kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak Kami azab seksa Yang tidak terperi sakitnya”.
19. Rasul-rasul itu menjawab: “Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) Yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam Kami Dengan apa Yang kamu katakan itu)? (kamu bukanlah orang-orang Yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau”.
20. Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu Dengan berlari, lalu memberi nasihat Dengan katanya:” Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu –
21. “Turutlah orang-orang Yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk”.
22. Dan (apabila ditanya: sudahkah Engkau menerima ugama mereka? maka jawabnya): “Mengapa Aku tidak menyembah Tuhan Yang menciptakan daku, dan Yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?
23. “Patutkah Aku menyembah beberapa Tuhan Yang lain dari Allah? (sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku Dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.
24. “Sesungguhnya Aku (kalau melakukan syirik) tentulah Aku pada ketika itu berada Dalam kesesatan Yang nyata.
25. “Sesungguhnya Aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)”,.
26. (setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke Dalam Syurga”. ia berkata; “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui –
27. “Tentang perkara Yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang Yang dimuliakan”.
28. Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.
29. (kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan Dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka Dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi
 

keLebiHaN raMadHaN

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya’ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

 1. Abu Hurairah menyatakan, telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

 “Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.”

 -HR imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi-

 

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

 “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.”

– HR imam Nasai’e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

 

3. Abu Hurairah telah berkata :

 Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud :

 “Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.”

 – HR Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

 

 4. Daripada Abu Hurairah telah berkata:

 Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

 “Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan :

 Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar).”

 Telah berkata Abu Hurairah :

 Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya:

 Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah?

 Baginda S.A.W bersabda :

 “Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam)”

 -HR  Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

 

 5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata:

 Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

 “Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata :

 Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.”

 -HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

 

 PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

 2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

 3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

 4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

 5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

 6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

 7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

 8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

 9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

 10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

 11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

sumber : ilham ikhlasku

 

sYaabAN & keLebiHanNya

REJAB sudah meninggalkan kita dengan seribu satu kelebihan. Berbahagialah mereka yang mengambil sepenuh kesempatan dari fadhilatnya. Jika diizinkan Allah kita akan berkesempatan  bersama Rejab pada tahun hadapan.

Kini muncul pula bulan SYAABAN. Bulan yang berada di tengah-tengah antara Rejab dan Ramadan. Bulan yang juga penuh dengan fadhilat dan keberkatannya.

Hukamak berpendapat, bulan Rejab adalah bulan kesempatan untuk kita meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban pula adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela manakala Ramadan pulan bulan untuk mengubat hati dan jiwa.

Syaaban bererti berpecah atau bercerai-berai. Ini kerana mengambil sempena peristiwa orang-orang Arab pada bulan tersebut berkeliaran ke merata tempat untuk mencari air. Ada pula berpendapat, Syaaban bermaksud pemisah iaitu pemisahan antara bulan Rejab dan Ramadan.

Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:

“Tahukah kamu sekelian, mengapa dinamakan bulan Syaaban? Maka umatnya menjawab: Hanya Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui.”

Baginda meneruskan sabdanya: “Kerana di dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

KEUTAMAAN SYAABAN:

Allah swt mengangkat darjat orang yang menghidupkan bulan ini dengan amalan ibadat. Allah juga banyak mengurniakan  rahmat kepada hambaNya. Rasullah bersabda yang bermaksud: “Allah mengangkat amalan-amalan semua hambaNya pada bulan ini.”                                                                                                             

Orang yang membesarkan bulan ini dengan beribadat, akan terpelihara dari maksiat. Taubatnya diterima juga terselamat dari mara bencana pada tahun berkenaan. Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud: “Barang siapa yang membesarkan Syaaban dan bertakwa kepada Allah swt  serta taat dan juga menahan diri daripada maksiat, Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan menyelamatkannya daripada segala bencana yang berlaku pada tahun itu, juga daripada sakit-sakit.”

Kasih dan ketaatan orang yang beribadat pada tahun itu terhadap Allah akan kekal. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Barangsiapa yang menghidupkan malam dua hariraya dan malam pertengahan bulan Syaaban, maka hatinya tidak mati biarpun semua hati mati ketika itu.”

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Saidatina Aisyah Radhiallahuanha, dia telah berkata yang bermaksud: “Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak  dari puasanya di bulan Syaaban.”

Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud: “ Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan aku di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhlukNya.”

APAKAH AMALAN YANG WAJAR DILAKUKAN DI BULAN SYAABAN?

  1. Memperbanyakkan puasa sunat:

           i. Dalam Kitab Durratun Nasihin dinyatakan bahawa Rasulullah saw bersabda   bermaksud: “ Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban, tiga hari pertengahannya dan tiga  hari pada akhir Syaaban, maka Allah swt mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti beribadat tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka matinya seperti orang mati syahid.”

 ii. Jika berpuasa sehari dalam bulan Syaaban akan diharamkan tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan nabi Yusof di dalam syurga. Diberi pahala seperti pahala nabi Ayub dan Nabi Daud.

 iii  Jika berpuasa sebulan  pada bulan Syaaban, dipermudahkan Allah kepadanya Sakaratulmaut dan ditolaknya (terlepas) daripada kegelapan dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nangkir, ditutup keaibannya di akhirat nanti dan diwajibkan syurga baginya.

 iv. Sesiapa yang berpuasa pada awal Khamis di bulan Syaaban dan akhir Khamis (juga dalam Syaaban) dimasukkannya dalam syurga .(Hadis Rasulullah yang dipetik dari kitab al-Barokah.)

v. Rasulullah saw turut bersabda yang bermaksud: “ Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdal sesudah Ramadan ialah puasa bulan Syaaban.” 

  1. Perbanyakkan doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah saw:

      Sabda Nabi saw yang bermaksud: “Barang siapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah swt akan mengampuni segala dosanya dan menyelamatkannya pada tahun tersebut dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)  

  1. Bertaubat:

Bulan Syaaban merupakan bulan untuk kita memperbanyakkan taubat kepada Allah swt.

MALAM NISFU SYAABAN:

 Malam 15 Syaaban lebih dikenali  sebagai malam  Nisfu Syaaban.

 Pada malam ini umat Islam sangat-sangat disarankan untuk memanfaatkannya kerana  malam ini penuh dengan rahmat dan doa sangat mustajab.

 Justeru umat Islam disaran untuk menghidupkan malam ini dengan membaca surah Yassin sebanyak tiga kali selepas solat maghrib.

Sumber : warmfuzzy

sEjaraH peRjaLaNan iSraK daN MikRaj

1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

– Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

– Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

– Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

– Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

– Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

– Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

– Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

– Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

– Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

– Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

– Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

– Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

– Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

sumber : Pakcik Li

pEriStiWa NakBa & maSa dEpaN PaLesTiN

 15 Mei bagi kita di Malaysia hanyalah merupakan hari biasa yang tiada beza dengan hari-hari sebelumnya. Jika ditakdirkan jatuh pada hujung minggu atau cuti umum maka bercutilah kita. Jika tidak maka berduyun-duyunlah kita ke jalan raya menuju ke tempat kerja.

Namun bagi seluruh umat Palestin detik 15 Mei saban tahun akan terus diingati dan ditangisi sebagai HARI NAKBA yang bermaksud “HARI KECELAKAAN”…hari di mana segala kecelakaan yang menimpa mereka bermula tanpa menunjukkan sebarang tanda bilakah ianya akan berakhir.

Hari Nakba ini mula disambut oleh pemimpin Palestin Yasser Arafat pada tahun 1998 bagi memperingati hari di mana bermulanya pencerobohan dan pemusnahan lebih 500 buah bandar dan kampung Palestin oleh tentera Zionis selepas tertubuhnya negara haram Israel pada 15 Mei 1948.

Akibatnya, lebih 700,000 atau 3/4 daripada umat Palestin menjadi pelarian selepas diusir dari bumi kelahiran mereka. Hari ini,selepas 63 tahun berlalu peristiwa pahit tersebut, pelarian Palestin atau keturunan mereka dianggarkan berjumlah lebih 5 juta orang.

Penubuhan negara haram Israel ini telah berjaya merealisasikan hasrat Zionis sejak 31 hb Ogos 1897M melalui deklarasi Persidangan Basel, Swisszerland…pencetus gerakan untuk menubuhkan sebuah negara untuk umat Yahudi, kemudiannya diekori dengan Deklarasi Balfor pada 2 November 1917.

Majlis perisytiharan negara haram Israel pada 15 Mei 1948. Perisytiharan penubuhan Israel telah dibuat di Muzium Tel Aviv (sekarang dikenali sebagai Dewan Kemerdekaan) diadakan tepat pukul 4 petang 15 Mei 1948 oleh David Ben-Gurion yang secara simboliknya menghentakkan tukul kayu di atas meja, diikuti oleh nyanyian Hatikvah yang kini menjadi lagu rasmi Israel oleh 250 tetamu.

Proses “transformasi” negara haram Israel

Sejak itu tanah air umat Palestin mula dibanjiri dan dicerobohi oleh pendatang Yahudi dari seluruh dunia. Ketika umat Palestin menderita merempat menjadi pelarian di bumi sendiri dan negara-negara sekitarnya kira-kira 6 juta orang pendatang Yahudi hidup dalam serba kemewahan di sebalik tembok keselamatan yang dibina mengelilingi negara haram Israel.

Rasanya tidak perlulah diceritakan kezaliman regim Zionis ke atas umat Palestin kerana seluruh dunia telah maklum tentangnya. Angkara Zionis beribu umat Palestin telah terkorban sementara beratus ribu lagi sedang menderita dan menunggu masa sahaja untuk menjadi korban seterusnya. Walau berbuih sekalipun mulut memperkatakannya dan membuat bantahan hatta melalui resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekalipun, regim Zionis Isreal tetap meneruskan kegiatan haramnya.

Justeru apakah kesudahan nasib umat Palestin ? Sudah lebih 63 tahun mereka menderita…sampai bilakah mereka akan dibiarkan menderita, merempat di bumi sendiri.

Setakat hari ini, sudah beberapa kali tercetus peperangan di antara regim Zionis dengan negara Arab. Pertamanya ialah sebaik perisytiharan penubuhan Israel, tentera Mesir, Iraq, Lebanon dan Syria telah memulakan Perang Arab-Israel 1948. Walaupun gencatan senjata dipersetujui pada 11 Jun, pertempuran disambung semula pada 8 Julai dan berhenti semula pada 18 Julai sebelum disambung kembali pada pertengahan bulan Oktober. Peperangan hanya berakhir pada 24 Julai 1949 dengan termeterainya Perjanjian Armistice 1949 dengan Syria.

Keduanya ialah Perang Enam Hari pada bulan Jun 1967 yang dikenali sebagai Perang Arab-Israel 1967, merupakan peperangan antara Israel dan negeri-negeri Arab, iaitu Mesir, Jordan, dan Syria. Di akhir peperangan tersebut Israel telah berjaya menguasai Jalur Gaza, Semenanjung Sinai di selatan sehingga ke Terusan Suez, Tebing Barat, dan Bukit Golan. Kesan perang ini mempengaruhi geopolitik kawasan Timur Tengah sehingga hari ini.

 Seterusnya ialah Perang Yom Kippur, juga dikenali sebagai Perperangan Arab-Israel 1973, Perang Oktober, dan Perang Ramadan, berlaku dari 6 Oktober (hari Yom Kippur) hingga 22/24 Oktober 1973 antara Israel dengan pakatan Mesir dan Syria. Perang ini merupakan lanjutan daripada konflik Arab-Israel yang merangkumi banyak pertempuran dan peperangan sejak dari tahun 1948. Perang ini kemudiannya menjadi konflik Arab-Israel yang terbesar apabila ianya disertai oleh negara-negara Arab yang lain seperti Libya, Algeria, Tunisia, Maghribi dan Sudan.

Kemudiannya, ekoran daripada kejayaan Israel dan serta sokongan Amerika Syarikat ke atas Israel, pada 17 Oktober negara-negara Arab mengisytiharkan sekatan minyak ke atas Barat seperti Amerika Syarikat, Eropah Barat dan Jepun. Keadaan ini telah menyebabkan harga minyak naik empat kali ganda, dan berlarutan hingga lima bulan, bermula pada 17 Oktober 1973 dan berakhir pada March 18, 1974…buat kali pertamanya dunia Islam berjaya “mengajar” kuasa barat dan Israel.

Di sebalik segala konflik di antara Arab dan juga Israel ini, terbukti regim Zionis begitu ampuh dan amat sukar untuk dikalahkan walaupun diperangi oleh seluruh tentera negara Arab sekalipun. Keadaan ini menjadikan regim Zionis semakin angkuh ditambah pula dengan dokongan dan sokongan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Selepas kegagalan negara-negara Arab memerangi regim Zionis melalui kuasa ketenteraan, tiada lagi peperangan besar-besaran di antara Arab dengan Israel.

Penderitaan umat Palestin kemudiannya seolah-olah dilupakan buat seketika walaupun penindasan dan kekejaman regim Zionis semakin tidak berperikemanusiaan. Tidak tahan dengan kezaliman regim Zionis, umat Palestin telah mengejutkan dunia dari lenanya apabila mereka melalui gerakan INTIFADA iaitu gerakan “kebangkitan” secara besar-besaran secara terbuka bagi menentang keganasan regim Zionis.

Peristiwa bersejarah ini berlaku pada 9 Disember 1987, ekoran tindakan sebuah lori besar milik Yahudi yang sengaja melanggar dua buah lori kecil milik umat Islam Palestin sehingga menyebabkan 4 orang terbunuh dan 9 lain tercedera. Dengan hanya bersenjatakan batu maka bermulalah Intifada Pertama rakyat Palestin menentang regim Zionis yang yang lengkap bersenjata moden. Seramai 6,200 umat Palestin gugur syahid selama Intifadah Pertama antara tahun 1987 dan 1993. Seterusnya 28 September 2000, umat Palestin sekali lagi keluar beramai-ramai untuk menentang keganasan Yahudi bagi memulakan Intifada Kedua.

Kebangkitan kali ke dua ini dilihat lebih hebat dan mengancam regim Zionis. Berbeza dengan kebangkitan pertama pada tahun 1987, Intifada Kedua ini tidak lagi semata-mata bergantung kepada lontaran batu dan lastik tetapi banyak menggunakan serangan mortar, roket, raifel automatik AK 47 dan jerangkap samar…termasuk menggunakan pengebom “berani mati”.

Malah lebih mengejutkan Israel dan kuasa Barat yang lain, kebangkitan kali ini dilihat lebih berbahaya kerana ia bukan saja dilancarkan oleh Kataib Al-Qassam (HAMAS) tetapi turut disertai oleh pertubuhan-pertubuhan lain seperti Kata’ib Syuhada’ Al-Aqsa (Fatah), Saraya Al-Quds (Jihad Islami), Pasukan As-Syahid Abu Ali Mustafa (As- Sya’biyyah), Pasukan Kebangkitan Kebangsaan Palestin (Ad Dimoqratiyyah) dan Saraya Al-Quds. Namun yang lebih menonjol adalah Kataa’ib Al-Qassam dan Kata’ib Syuhada’ Al-Aqsa.

Intifadah Kedua ini telah berjaya mencelikkan semula mata seluruh umat Islam khususnya negara-negara Arab terhadap penderitaan umat Palestin. Kesannya, Intifada Kedua telah berjaya mendapat sokongan padu dari dunia Arab sendiri. Ini terbukti apabila seluruh negara Arab yang mempunyai hubungan diplomatik dengan regim Israel telah memutuskan hubungan dengan negara Israel sebelum berlangsungnya Sidang Kemuncak OIC kali ke-9 di Doha, Qatar pada tahun 2000.

Kemuncak kepada Intifada Kedua ini ialah apabila HAMAS berjaya memenangi pilihanraya umum Palestin dan membentuk kerajaan pada 25 Januari 2006. Ekoran kemenangan HAMAS tokoh HAMAS Ismail Haniyeh dilantik menjadi Perdana Menteri Palestin. Kemenangan HAMAS ini telah menimbulkan kemarahan regim Zionis dan Amerika Syarikat. Akibatnya pada bulan Jun 2006 Israel kembali mengganas dan menguasai Gaza dalam Operasi Hujan Musim Panas.

Umumnya Intifada Kedua ini dikatakan tamat pada tahun 2007. Sepanjang konflik 2000-2007 ini kira-kira 7,400 nyawa umat Palestin gugur syahid manakala di pihak Israel pula seramai 1,083 orang telah berjaya dibunuh. Kini gelombang kebangkitan kembali membakar semangat umat Palestin terutamanya selepas melihat kejayaan gelombang kebangkitan saudara mereka di Tunisia dan Mesir, disamping kesan kebangkitan lain di Libya dan Yaman. Seruan supaya dimulakan Intifada Ketiga pada 15 Mei 2011 telahpun berkumandang…semboyan Intifada Ketiga telah bermula. Pastinya kebangkitan pada kali ini lebih menggusarkan dan menghantui regim Zionis.

Pastinya kebangkitan akan lebih berbeza dengan Intifada Pertama dan Kedua terutama sekali dalam era ledakan teknologi telekomunikasi. Dunia telah menyaksikan bagaimana kecanggihan teknologi Facebook dan twitter telah digunakan sepenuhnya sehingga berjaya menumbangkan dua buah regim yang menjadi sekutu rapat Zionis iaitu Mesir dan Tunisia. Melalui Facebook, seruan supaya dunia bangkit mengecam regim Zionis telah dilancarkan. Kini bukan sahaja orang-orang Islam malah masyarakat bukan Islam termasuk Yahudi pun telah bangkit dan berdemonstrasi memprotes kekejaman regim Zionis ke atas umat Palestin.

Umat Islam di seluruh dunia pula diseru supaya berkumpul dengan menunaikan solat subuh berjemaah pada pagi Jumaat 13 Mei 2011 di masjid-masjid utama termasuk di Masjidil Haram Mekah bagi menunjukkan solidariti mereka terhadap umat Palestin.

Perhimpunan solidariti Palestin di Medan Tahrir pada 13 Mei 2011

Di Mesir, sekali lagi Medan Tahrir yang pernah menyaksikan kebangkitan rakyatnya sehingga menumbangkan regim Mubarak yang pro Israel menjadi tumpuan beratus ribu umat Islam telah berkumpul sejak awal pagi 13 Mei 2011.

Lautan manusia di Medan Tahrir pada 13 Mei 2011

Perkembangan yang berlaku di Mesir telah menggusarkan Amerika Syarikat dan Israel sehingga memaksa pentadbiran Amerika menarik balik wakil khas keamanannya. Sebelum ini kerajaan baru Mesir telah menimbulkan kemarahan Amerika Syarikat dan Israel apabila mengumumkan pembukaan semula sempadannya dengan Gaza di Rafah bagi mengakhiri sekatan yang dikenakan oleh regim Mubarak sejak tahun 2006.

Selain itu ketegangan tercetus di seluruh sempandan Israel dengan dengan Arab. Di Lubnan dan Syria, berpuluh ribu rakyatnya berkumpul berhampiran sempadan dengan Israel.

Cubaan rakyat Syria memasuki kawasan yang ditakluki Israel di Bukit Golan

Di sempadan Lubnan dengan wilayah diduduki Yahudi, 10 warga Palestin ditembak mati apabila ditembak tentera Israel yang menghalang mereka memasuki wilayah berkenaan. Pasukan keselamatan Lubnan berkata lebih 100 orang cedera dalam insiden berkenaan yang berlaku di Maroun al-Ras.

Cubaan rakyat Lubnan merempuh sempadan dengan Israel

Media Syria pula melaporkan tentera Israel menembak mati 12 orang dan mencederakan 30 yang lain orang daripada berpuluh-puluh pelarian Palestin yang cuba memasuki Bukit Golan dari Syria.

Perhimpunan berhampiran sempadan Rafah

Manakala di Jordan, ramai penunjuk perasaan tercedera apabila mereka bertempur dengan polis di kawasan al Karameh, berdekatan sempadan Jordan dan Tebing Barat. Polis dilaporkan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan. Dengan mengibarkan bendera Palestin, penunjuk perasaan menyahut slogan-slogan menyokong Palestin. Selama dua hari berturut-turut mereka mereka dihalang daripada mendekati sempadan di Sungai Jordan.

Tentera Jordan menghalang demostran menghampiri sempadan di Al Karameh

Di Gaza ribuan rakyatnya berarak menuju ke pintu sempadan dengan Mesir di Rafah bagi menuntut kembali hak mereka. Tentera Israel dilaporkan menembak mati dua orang penunjuk perasaan yang sedang menyertai protes berdekatan sempadan Israel di Erez manakala seramai 82 orang lain tercedera dalam serangan oleh tentera Israel. Perdana Menteri Ismail Haniyyeh mendesak rakyat Palestin untuk terus menentang kezaliman rejim Zionis demi membebaskan bumi mereka. Beliau juga menyatakan harapan agar suatu hari nanti semua rakyat Palestin akan dapat kembali ke tanah air dan rumah mereka yang dirampas.

Di Tebing Barat pula perhimpunan terbesar diadakan berhampiran kem pelarian dan pos pemeriksaan Qalandiya yang terletak antara Ramallah dan Baitulmaqdis. Berlaku pertempuran di antara penunjuk perasaan dengan tentera Israel. Seorang dilaporkan terbunuh dan 150 lagi tercedera dalam kejadian tersebut. Selain menghadapi kebangkitan rakyat Palestin dan orang-orang Arab, regim Zionis juga kali ini terpaksa sekali lagi menghadapi cabaran di perairannya di laut Mediterranean.

Kapal Mavi Marmara yang pernah diserang komando Israel ketika membawa bantuan ke Gaza Mei tahun lalu, sekali lagi mengetuai angkatan 15 buah kapal dalam misi kemanusiaan baru “Freedom Flotilla 2″ ke Gaza dalam usaha bagi memecahkan sekatan Israel ke atasnya. Misi bantuan terbaru akan membawa peserta dari 50 negara dalam usaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza. Tahun lepas misi ini hanya melibatkan 6 buah kapal.

Mavi Marmara diserang komando Israel Mei tahun lalu, menyebabkan sembilan orang terbunuh, manakala berpuluh lagi cedera. Insiden itu telah menimbulkan kecaman antarabangsa selain menyebabkan hubungan tegang antara Tel Aviv dan Ankara. Sama seperti tahun lepas misi kali ini turut disertai oleh Malaysia yang menghantar kapal kargo MV Finch “The Spirit of Rachel Corrie” tajaan Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF) yang membawa paip PVC sepanjang 7.5 kilometer bagi membaik pulih dan membina semula sistem pembetungan dan bekalan air di Gaza.

Walaupun dihalang dan diserang oleh regim Zionis, usaha-usaha bagi memecahkan sekatan ke atas Gaza dan Palestin akan tetap diteruskan, malah berkemungkinan konvoinya akan bertambah besar pada tahun depan dan tahun-tahun akan datang. Dunia sebenarnya sudah benci benar melihat gelagat mereka. Dunia juga sudah muak dengan pelbagai alasan yang diberikan. Masyarakat antarabangsa, tanpa mengira bangsa dan agama kini dilihat semakin berani dalam menghadapi tindakan ganas regim Zionis. Pastinya hari-hari yang dilalui oleh regim Zionis kini tidak lagi sama dengan hari-hari semalam.

Bersabarlah wahai saudaraku wira-wira Palestin. Janji Allah adalah benar, suatu hari nanti…yang mungkin tidak lama lagi…bumi Palestin akan kembali menjadi milikmu.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama-sama kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Mereka tetap dalam keadaan demikian.” Maka para sahabat bertanya,”Dimanakah mereka?” Jawab Rasulullah, ” Di Baitul Maqdis dan sekitarnya”. (Riwayat Bukhari)

 “Tidak akan berlaku Kiamat sehinggalah kamu memerangi Yahudi. Dan kamu memerangi mereka sehingga pokok dan batu berkata-kata. Lantas ia menyebut, wahai Muslim, wahai hamba Allah, di belakangku ini ada Yahudi, marilah ke sini dan bunuhlah dia kecuali pokok Gharqad kerana ia adalah pokok Yahudi”.

(Riwayat Bukhari, Muslim dan Attarmizi) .

by : Tongkat Ali

aRah paNdaNgan mAta keTika sOLat

Ada dalil yang menggalakkan ketika solat kita disunatkan menundukkan wajah melihat ke tempat sujud semasa berdiri. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan al-Hakim : “Adalah Rasulullah s.a.w menundukkan kepala Baginda dan melontarkan pandangannya ke bumi ( tempat sujud ).”

Dalam hadis lain : “dan tatkala Nabi s.a.w memasuki kaabah, Nabi tidak mengangkat pandangan matanya dari tempat sujud sehinggalah Baginda keluar darinya.” ( Riwayat Abu Daud dan Ahmad )

Imam Sufyan al-Thawri, Abu Hanifah dan al- Syafi’i berpendapat bahawa elok menumpukan pandangan mata ke arah tempat sujud. Manakala ijtihad Imam Malik dan Ibn al-Arabi al-Maliki mengatakan elok memandang ke arah hadapan dan bukannya tempat sujud.

Namun, walaupun dalil-dalil yang dikemukakan ini sahih dari sudut kefahamannya iaitu keperluan melihat tempat  sujud. Maksud “menundukkan kepala” dalam hadis ini tidak semestinya memandang tempat sujud dan hadis kedua pula tidak dijelaskan secara terang ia dilakukan ketika solat.  Ia hanya menyebut ketika nabi memasuki kaabah dan bukannya ketika solat.

Setelah diteliti hadis-hadis yang terdapat dalam bab ini, maka dapat difahami bahawa matlamat asas daripada tindakan melihat tempat sujud ini adalah untuk :

  • Mendatangkan khusyuk
  • Menghilangkan gangguan luar dan memfokuskan perhatian terhadap solat
  • Menimbulkan rasa rendah diri ketika solat
  • Membezakan keadaan antara orang yang sedang dalam solat dan yang luar solat
  • Menghilangkan rasa sombong

Hadis berikut menyokong kepada kesimpulan :

“Tidak sepatutnya terdapat dalam rumah orang yang menunaikan solat sesuatu yang boleh mengganggu dan menyibukkan ( pemikirannya dan kekhusyukkannya ktika solat ).” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad )

Juga sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud ; “Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh ( ke sana sini iaitu tidak memfokuskan pandangan ) kerana Allah s.w.t mengarahkan wajah-Nya ke wajah hamba-Nya yang sedang solat selagi mana hamba-Nya tidak menoleh ke arah lain.” ( Riwayat al-Bukhari dan Abu Daud )

Kesimpulannya, digalakkan untuk menundukkan pandangan mata, sama ada ke tempat sujud atau lainnya semasa solat, namun tidaklah sampai pada tahap wajib.

Sumber : Solusi isu #25