tRageDi dahSyat di AntaKiah

 

Surah Yassin mulai ayat 13-29 menceritakan mengenai Ashabul Qaryah di mana ayat tersebut mengisahkan 2 orang utusan telah diutus kepada satu masyarakat di sebuah bandar lalu mereka ingkar dan menolak 2 utusan tersebut lalu diutuskan kepada masyarakat mereka utusan ketiga, juga dimaki, dikeji dan dihamun oleh penduduk di bandar atau kota tersebut.

Tatkala sedang mereka ingin menghapuskan rasul-rasul pembawa kebenaran datang seorang lelaki yang dikenali dengan Habibinajjar mengajak mereka untuk taat pada seruan yang di bawa. Namun mereka tetap ingkar malah Habibinajjar pula dipijak dan dibunuh. Maka Allah telah melenyapkan penduduk di situ dengan satu suara pekikan yang amat dahsyat.

Kebanyakkan Ahli Tafsir menyatakan peristiwa itu berlaku di Antakiah atau disebut Antioch. Ia merupakan sebuah bandar kecil yang kini terletak di dalam wilayah Hatay di negara Turki.

Al-Qurtubi menyatakan kota tersebut adalah Antakiah di mana 3 utusan yang diutuskan itu ialah Shadiq, Mashduq dan Syam’un. Mereka adalah pengikut Nabi Isa a.s

Antakiah terletak di Sungai ‘Asi yang bermula dari negara Lubnan melalui Syria dan berakhir di Turki. Antakiah juga terletak berhampiran persisiran pantai Lautan Mediterranean yang kini kawasan tersebut dikenali dengan Samandaq atau nama lamanya Suwaidiyyah.

Menurut sejarah, Antakiah dibangunkan oleh Selauqas I pada tahun 307 masihi dan pernah ditakluk oleh Iskandar Zulqarnain sebelumnya. Pada zaman kerajaan Islam Abassiah, bandar Antakiah ini turut menjadi wilayah penting dan dinilai sebagai kota yang indah, punyai air dan penuh kebaikkan.

Antakiah pernah menjadi wilayah Syria sebelum diambil oleh negara Turki pada 23 Julai 1939 dalam satu keputusan yang dibuat oleh Parlimen Turki. Namun hingga kini Syria masih menganggap Antakiah sebagai wilayah mereka dan ada cetakan peta negara Syria masih meletakkan Antakiah di dalam negara mereka. Oleh sebab itu, sekiranya kita berada di Antakiah, dapat dilihat masyarakatnya hampir 60% adalah bangsa arab dan mereka masih bertutur di dalam Bahasa Arab.

Di bandar inilah disemadikan jasad Habibinajjar dan salah seorang dari 3 orang utusan tersebut iaitu Syam’un. Makam mereka boleh diziarahi umum di Masjid Habibinajjar yang terletak di tengah-tengah bandar moden Antakiah (Street Kemal Pasha).

Makam Habibinajjar di Antakya, Turki

Di dalam masjid tersebut turut ditempatkan Makam Nabi Yunus A.s dan Nabi Yahya a.s. Namun kisahnya kurang jelas bagaimana kedua-dua Rasul tersebut dimakamkan disitu. Mungkin makam yang dimaksudkan hanya tempat persinggahan.

Apapun yang penting, kisah ini benar-benar telah berlaku bahkan dipahat di dalam Al-Quran dan marilah kita menghayati ayat 13-29 Surah Yassin ini dan mengambil iktibar dari kisahnya.

Surah Yassin berserta terjemahan mulai ayat 13 hingga 29 :-

 
13. Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan Yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) Iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),
14. Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) Dengan Rasul Yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya Kami ini adalah diutuskan kepada kamu ‘.
15. Penduduk bandar itu menjawab: “Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti Kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama Yang kamu dakwakan); kamu ini tidak lain hanyalah berdusta”.
16. Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui Bahawa Sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul Yang diutus kepada kamu,
17. “Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya Dengan cara Yang jelas nyata”.
18. Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya Kami merasa nahas dan malang Dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas Yang kamu katakan itu), tentulah Kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak Kami azab seksa Yang tidak terperi sakitnya”.
19. Rasul-rasul itu menjawab: “Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) Yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam Kami Dengan apa Yang kamu katakan itu)? (kamu bukanlah orang-orang Yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau”.
20. Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu Dengan berlari, lalu memberi nasihat Dengan katanya:” Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu –
21. “Turutlah orang-orang Yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk”.
22. Dan (apabila ditanya: sudahkah Engkau menerima ugama mereka? maka jawabnya): “Mengapa Aku tidak menyembah Tuhan Yang menciptakan daku, dan Yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?
23. “Patutkah Aku menyembah beberapa Tuhan Yang lain dari Allah? (sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku Dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.
24. “Sesungguhnya Aku (kalau melakukan syirik) tentulah Aku pada ketika itu berada Dalam kesesatan Yang nyata.
25. “Sesungguhnya Aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)”,.
26. (setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke Dalam Syurga”. ia berkata; “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui –
27. “Tentang perkara Yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang Yang dimuliakan”.
28. Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.
29. (kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan Dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka Dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi
 

mEnaNgiSLah

 

Menangislah wahai hati,
Melihat saudaramu terbujur kaku,
Suara tenggelam dalam ledakan peluru,
Darah melimpah mengalir sayu,
Sungai tangisan yang deras menderu,
Rumah batu hancur seribu,
Musnah punah terus diburu,
Menangislah dalam doamu.

Bangkitlah wahai jiwa,
Melihat ayah,ibu, adik-adikmu merana,
Musuh mentertawa gempita,
Memijak,meludah maruah ummah,
Sedang masih ramai di luar terlena,
Menghayun kepala,alpa segala,
Bersilang kaki, meneguk kopi,
Dalam derita jiwa mereka,
Dikepung hati batu manusia,
Maka bangkitlah wahai pemuda.

Hijrahlah wahai diri,
Memang bukan tubuhmu dirobek,
Bukan nafasmu disekat hebat,
Kau masih sihat tidak melarat,
Bisa tersenyum mengepal mimpi,
Namu apa guna kau mengaku seaqidah,
Andai katamu dusta, perimu helah,
Hijrahlah menuju rasa itu,
Agar bisa menjadi pembela mereka!!

 by : Naqeb Sulaiman

By khairazahra Posted in Poems

saLam MaaL hiJrah

Abu Hurairah berkata;

Setiap kali datangnya tahun baru membuat aku risau dan resah kerana semakin singkat umurku, semakin dekatnya ajalku, semakin tipisnya waktu pengampunan Allah terhadapku, semakin dekatnya hari perhitunganku

– salam Maal Hijrah –

* Ya Allah..make my best day, the day that i meet you

saBaR

 

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Kata mak ” sabar tu kan separuh daripada iman”…berulangkali juga aku mengingatkan diri akan kata-kata mak tu. Sebagai manusia biasa yang tidak lepas dari kekurangan diri, hati kecilku sering tertanya. ” sampai bila ye aku perlu bersabar?”…” apakah orang lain juga perlu bersabar sepertiku?”..” cakap sabar memanglah senang, tapi menghadapinya sangat susah.”

Itu semua apa yang berlaku suatu masa dahulu. Peningkatan usia dan ilmu menjadikan aku semakin redha dengan sesuatu yang berlaku. Kesabaran itu adalah nikmat bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Kesabaran itu memang perlu hingga akhir hayatku. Bersabar itu menjadikan aku hamba yang sentiasa redha dan bersyukur dengan ketentuan-Nya. Mungkin Allah tidak beri apa yang aku minta sekarang kerana Allah tahu ada yang lebih baik menantiku. Mungkin juga Allah tidak memakbulkan permintaanku kerana Allah rindu untuk mendengar rintihanku. Walau apapun aku yakin Allah sentiasa mendengarkan aku.

Sering mengingatkan diri ini bahawa ada insan-insan lain yang lebih tidak bernasib baik berbanding aku. Aku bertuah kerana tidak diuji seperti mereka. Ternyata Allah sangat mengasihiku. Bukan Allah tidak mengasihi mereka, tetapi Allah memilih mereka kerana mereka lebih kuat untuk menghadapinya. Ternyata sebenarnya mereka lebih hebat dariku. Itulah kelebihan mereka.

Semoga aku terus menjadi orang yang sabar dan bersyukur akan segala nikmat-Nya. Membantu mereka yang memerlukan bantuanku semampunya aku. Walau seberat mana ujian Allah, semoga Allah tidak menguji aku dengan sesuatu yang diluar kemampuanku.

Allah berfirman, “Dan bersabarlah kamu, karena sesungguhnya Allah itu bersama orang yang sabar.” (Al Anfaal : 46 )

Allah SWT berfirman : “Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar.” ( Ali Imran : 146)

*Ingatlah! ketika engkau tidak punya sesiapa, maka Allah itu lebih dari cukup.

InDahNya berSedEkah!

Mesut Ozil atau nama manjanya Mat Ozil merupakan seorang remaja yang kental. Dia seorang lepasan SPM 2010 dan dia juga bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir. Dia mendapat tajaan penuh untuk melanjutkan pelajaran ke sana kerana dia telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPMnya.

Dia sangat bersyukur dengan nikmat yang telah diperoleh olehnya itu. Dalam kesyukurannya itu terselit satu bebanan untuknya. Ya, bebanannya untuk berjuang di medan pembelajaran dan alam pekerjaan yang amat getir di rasakan.

” Tak apa, ini semua buat ummah, ini semua buat Islam dan inilah medan juangku untuk Islam. Sumbangan apa lagi daripadaku yang boleh ku beri buat Islam. Ini sahajalah yang ku mampu juangkan”. Dengus hati Mat Ozil.

Ramadan tiba

Mat Ozil bukanlah berasal daripada keluarga yang ‘berada’ tetapi hanyalah sederhana. Namun begitu, ayahnya sering mengajarnya hidup seperti cara hidup orang susah. Didikan itu telah sebati baginya sehingga kini.

Malam itu, selepas pulang solat terawih, dia menghidupkan suis televisyen dan menontonnya. Sejak masuk ke dalam bulan Ramadan, inilah kali pertama dia menonton televisyen. Katanya, mahu menjaga pandangan. Bukan sahaja televisyen, bazar Ramadan pun belum dia kunjungi.

“Biarlah ruh Ramadan kali ini benar-benar menyelinap kekal dalam jasadku walaupun terpaksa bermujahadah. Mujahadah itukan sememangnya pahit, pasti ganjarannya nanti manis!” Jerit batinnya untuk memujuk diri.

Tanpa berlengah, dia membuka channel TV 99. Ya, dia gemar menonton di saluran itu. Banyak program ilmiah yang disiarkan berbanding channel lain yang banyak melalaikan.

Kebetulan ketika itu, program ‘Tanyalah Ustaz Ini ‘ berlangsung. Dia amat meminati program itu. Sementelahan, Ustaz Nicholas Anelka pula yang sedang berceramah pada waktu itu. Ramai yang kata Ustaz Nicholas Anelka tu tak handsome sebab kulitnya hitam. Bagi Mat Ozil, biarlah kulitnya hitam sekali pun, tetapi ilmunya yang tebal itu mampu memutih bahkan mensucikan hati insan lain.

Tajuk malam tu ialah berkenaan dengan Sedekah. Dalam program tu, Ustaz Nicholas Anelka ada menyebut satu ayat daripada al-Quran dan menghuraikan dengan baik dan lunak sekali.

Ini ayatnya :

“Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan pada setiap tangkai pula ada 100 biji. Allah melipatgandakan ganjaran sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Setelah menghurai ayat itu, dia jadi tertarik sekali dengan amalan sedekah. Sebelum ini amalan sedekah dia taklah berapa ‘menjadi’, hanya suam-suam suku sahaja.

Ustaz Nicholas Anelka juga menceritakan satu kisah seorang pemimpin Islam yang A’lim pada suatu masa dahulu. Pemimpin Islam itu memegang jawatan sebagai seorang qadi di sebuah negara Islam yang kaya raya ketika itu. Gajinya juga tersangatlah lumayan, lagi lumayan dari gaji seorang Perdana Menteri sekarang ini. Namun apa yang special, gaji yang banyak itu, dia langsung tidak gunakannya. Bahkan, beliau menghabiskan semuanya melalui sedekah kepada golongan-golongan yang memerlukan.

Beliau berbuat demikian kerana beliau sangat yakin Allah akan membalas kepadanya dengan ganjaran yang lebih besar buatnya. Apa yang diyakinkan beliau tu, sememangnya terjadi. Setelah beliau solat malam ( qiamullail ) , terdapat banyak duit yang berada di bawah sejadahnya. Orang lain yang tahu cerita mengenai beliau, cuba meniru beliau, namun tidak menjadi, gara-gara mereka tidak yakin sepenuhnya kepada Allah dan masih ada sisa-sisa keraguan kepada kuasa Allah.

Mendengar kisah itu, Mat Ozil tambah bermotivasi. Dia tekad untuk banyakkan amalan sedekahnya. Tak lama kemudian, dia pergi pula mengadap laptop ayahnya. Seperti biasa, mahu lihat-lihat apa yang terbaharu di Facebook. Dia gemar meneliti status-status ilmuan Malaysia yang telah dia ‘like’ fan page mereka sebelum ini. Kebanyakan status facebook para ilmuan ini penuh ilmiah, tak kiralah pandangan mereka atau perkongsian ayat al-Quran atau hadis.

Setelah diteliti, satu status telah menarik perhatiannya. Perkongsian mengenai satu hadis Rasulullah S.A.W. Satu hadis berkaitan dengan sedekah telah di kongsi di status facebook Ustazah Aminah Gomez. Bunyinya begini :

“Sedekah yang paling afdhal (baik) adalah sedekah yang dikeluarkan dalam bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Jika tadi sudah bermotivasi untuk bersedekah, kini betambah-tambah motivasi lagilah dia setelah membaca hadis sahih daripada Rasulullah S.A.W itu.

Pagi itu dia bercadang untuk pergi ke Pasar Tani di pekan. Dia mahu membeli barangan-barangan keperluan lain yang masih tersisa untuk dibawa bekalan ke Mesir nanti. Sambil dia membeli, dia juga sebenarnya mendengar Kuliah Agama yang dilangsungkan di tengah kesibukan orang berniaga. Kuliah Agama itu telah beberapa tahun bertapak di situ sejak kerajaan negeri bertukar tangan. Itu satu usaha yang baik daripada pihak kerajaan dalam mengilmukan rakyatnya. Bukan hanya membiarkan rakyat dungu dan jahil dalam ilmu agama.

Kelihatan ramai sungguh peniaga pada hari itu. Maklumlah, dah nak raya. Dalam lamunan mendengar Kuliah Agama itu, dia kaget. Terkesima sebentar.

” Ish, selama aku datang ke pasar ni, tak pernah pulak aku beri sedekah kepada peminta-peminta sedekah dekat pasar ni. Rasanya, kini tibalah masanya untuk aku hulurkan sedikit duit setakat yang termampu. Mana tahu, dengan duit aku itu, mereka boleh beli juadah untuk berbuka. Kan besar pahalanya tu” Rungut hati Mat Ozil setelah melihat beberapa orang peminta sedekah dan beberapa buah tabung besar di Pasar Tani itu.

Dia sengaja memecahkan duitnya untuk diberi sedekah kepada semua peminta sedekah itu. Saat itu, dia sungguh yakin bahawa Allah akan membalas amalan sedekahnya itu dengan sesuatu yang lebih baik. Dia berazam untuk berikan RM 1 kepada setiap peminta sedekah dan setiap tabung yang diletakkan di Pasar Tanii itu.

Segalanya berjalan dengan baik. RM 1 di masukkan dari satu tabung ke satu tabung dan daripada seorang peminta sedekah ke seorang peminta sedekah. Namun, ada sesuatu yang tak dirancang berlaku. Ianya berlaku dibawah sedar. Memang tidak sedari langsung. Tersangatlah tidak sengaja.

Dalam kelancaran Mat Ozil menghulurkan sedekahnya, tiba-tiba apabila datang kepada seorang peminta sedekah yang cacat, dia ‘ter’masukkan duit RM10 ke dalam balang coklat yang digunakan peminta sedekah itu untuk meminta sedekah.

Pada mulanya dia langsung tak sedar bahawa duit yang dia masukkan itu duit RM10. Namun setelah melangkah selangkah daripada peminta sedekah itu, dia terpana. Tersedar.

” Aduh, macam mana pulak boleh masuk duit RM10 pulak ni. “ Sambil menggaru kepalanya yang tak gatal.

Budget Mat Ozil untuk membeli barangan lain terus tersasar jauh kerana dia bukanlah seorang yang punya banyak wang. Hanya bawa sekadar ‘cukup-cukup’ sahaja.

” Ish, takkan nak ambil balik,nanti tak pasal sahaja kena pukul dengan orang ramai sebab kata aku ni pencuri. Huh, bahaya” Fikir Mat Ozil.

Tanpa menunggu lama, dia beredar dari Pasar Tani itu dek kehabisan wangnya.

” Tak apalah, mungkin itu rezeki dia. Semuanya sudah ditentukan oleh Allah. Dalam rezeki kita, tak semestinya semua itu habuan kita, mungkin juga dalam rezeki kita tu, ada rezeki orang lain. Ah, redha saja. Ikhlaskan hati, yakin sahaja ada balasan lain yang lebih besar yang menanti di hadapan. Ya, yakin! “

Dia terus menunggang motosikal ayahnya itu pulang ke rumah. Dalam hatinya asyik teringatkan kisah yang terjadi di Pasar Tani tadi. Kerap benar menyinggah di mindanya.

Segalanya daripada Allah

Selang sehari selepas itu, permohonannya untuk mendapatkan sedikit bantuan, berupa sedikit wang daripada satu badan kebajikan ditolak. Wang itu mahu digunakannya untuk membeli barangan keperluannya untuk berangkat ke bumi Mesir nanti. Namun, dia redha. Mungkin ada orang yang lebih berhak terhadap wang itu.

Dia tidak menyepi memasrah diri. Dia usaha dan terus berusaha. Membuat surat itu dan ini. Memanjat pelbagai syarikat untuk meminta sedikit dana. Dia tahu dia dah banyak susahkan ibu bapanya dan dia mahu berusaha sendiri kali ini.

Teringat dia dengan ayat 1000 dinar yang selalu dia amalkan selepas solat. Dia sedar, dia harus yakin sungguh dengan Allah!

“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar( dari perkara yang menyusahkannya). Serta memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan( ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepadaAllah, maka Allah cukuplah baginya ( untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” ( Surah At-Talaaq, ayat 2-3 )

Keyakinan berbuah

Sesungguhnya, tidak lama selepas itu, rezeki dia melimpah ruah. Bukan sahaja cukup, bahkan lebih! Syukur, alhamdulillah!

Dana yang terkumpul dulunya dari kosong sekarang melopong melihatnya. Macam tidak percaya pula di rasakan. Hebat !

Bukan itu saja, rezeki dia bertambah lagi apabila dia menang pula pelbagai hadiah setelah memenangi pertandingan ” Jangan Lupa Ayat al-Quran “ di Radio ibnuddin.fm . Subhnallah, memang tak terkata. Terkesima entah bagaimana.

Yakinlah!

“Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan akan dikalungkan kelak di lehernya pada hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Ali ‘Imran: 180)

“Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: “Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?” ( Surah al-Munafiqun : 10 )

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Harta tidak akan berkurang dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kewibawaan baginya.” (HR. Muslim)

Jangan bakhil. Yakinlah dengan balasan Allah! Sesungguhnya Allah tidaklah menyalahi janji. Percayalah. Jangan takut untuk sedekah saudara-saudaraku.

Seronoknya sedekah!

sumber : iluvislam

jawaPaN ataS pErsOaLaN

 
 
 
KENAPA AKU DIUJI?
 
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan;”Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.”– Surah Al-Ankabut ayat 2-3

 
 
 
KENAPA AKU TIDAK DAPAT APA YANG DIIDAM-IDAMKAN?
 
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”– Surah Al-Baqarah ayat 216

 
 
 
KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
 
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”– Surah Al-Baqarah ayat 286

 
 
RASA KECEWA?
 
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati,padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.”– Surah Al-Imran ayat 139

 
 
 
RASA SEDIH?
 
“Janganlah kamu bersedih sesungguhnya Allah bersama kita.”– Surah At-Taubah ayat 40

 
 
 
 
 
 BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

– Surah Al-Imran ayat 200

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”

– Surah Al-Baqarah ayat 45

 
 
 
 
APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
 
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang mu’min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…”– Surah At-Taubah ayat 111

 
 
 
KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
 
“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.”– Surah At-Taubah ayat 129

 
 
 
 
AKU SUDAH TIDAK DAPAT BERTAHAN LAGI
 
“…dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”– Surah Yusuf ayat 12

**sama2 kita renungkan dan jadikan penguat keazaman untuk teruskan kehidupan yg penuh ujian, cabaran, dugaan, dan halangan..

kEGaNasaN kE ataS RoHingya

 Sumber : Akademi Tarbiyah DPPM

“Dalam kemeriahan kita menyambut Hari Raya dan bergembira bersama sanak-saudara, jangan kita lupa dengan saudara-saudara seagama di tempat lain yang tidak dapat merayakan hari raya seperti mana kita merayakannya.”

Ya, cliche. Tetapi itulah hakikatnya. Ketika kita sedang sibuk memilih kuih raya mana yang mahu disumbat ke dalam esofagus, kawan-kawan kita di Palestin sedang memilih batu kerikil mana yang mahu dilontarkan kepada tentera rejim zionis Israel hari ini. Ketika kita sedang sibuk menggayakan baju raya baru kita yang berkilauan warnanya, sahabat-sahabat kita di Syria tiada baju untuk dipakai dek dibakar oleh tentera-tentera rejim Bashar al-Assad. Dan ketika kita riang gembira menyembelih ayam, kambing dan lembu untuk dijadikan juadah raya, saudara-saudara Rohingya kita disembelih untuk dijadikan ‘juadah raya’ oleh pelampau Buddha Rakhine.

Ketika isu ini sedang panas dan hangat dibicarakan, kitalah yang paling lantang sekali bersuara. Ketika krisis ini rancak didedahkan, kitalah yang paling rajin sekali meng-update twitter dan status-status di facebook. Ketika semua orang bising dan menuntut agar tindakan yang segera diambil, kita juga turut terjun ke dalam gerabak keretapi yang sama. Nah, sekarang ke mana semua itu?

Itulah masalahnya umat Islam hari ini yang melihat sesuatu perkara berdasarkan ‘issues-oriented’, iaitu perjuangan yang berdasarkan isu dan bukannya perjuangan agung membela ummah dan agama. Oleh itu, marilah kita kembali melihat nasib umat Islam Rohingya yang diperlakukan dengan begitu jijik sekali oleh etnik Rakhine yang rata-ratanya beragama Buddha. Semoga perkongsian ini akan menjadi pencetus untuk kita lebih cakna dengan isu ummah di masa-masa hadapan dan tidaklah berbasa-basi dan acuh tak acuh sahaja. Semoga selepas ini kita lebih konsisten dan persisten dalam memperjuangkan nasib saudara-saudara seaqidah kita.

Latar Belakang Tragedi

Secara ringkasnya, etnik Rohingya sudah lama teraniaya dan hidup dalam penderitaan. Cuma tahun ini, telah berlaku suatu krisis yang membawa kesengsaraan mereka ini ke pentas dunia di zaman yang penuh dengan kemajuan maklumat dan teknologi. Sebenarnya tragedi kemanusiaan yang dialami oleh umat Islam Rohingya berlaku sejak 1938 lagi apabila dilaporkan seramai 30,000 orang Muslim telah dibunuh pada 26 Julai 1938. Tragedi yang sama juga berulang pada tahun 1942, 1968 dan 1992.

Manakala tragedi yang bermula pada awal Jun tahun 2012 ini tercetus apabila seorang wanita etnik Rakhine dirogol dan dibunuh, dan perbuatan itu didakwa dilakukan oleh beberapa lelaki daripada etnik Rohingya. Sebagai tindak balas dendam, puak Rakhine ini telah mengepung dan menyerang sebuah bas dan membelasah lantas membunuh sepuluh orang lelaki Rohingya, kerana menyangkakan mereka yang bertanggungjawab membunuh dan merogol wanita etnik Rakhine itu. Inilah taktik lazim penjahat mahu mencipta isu, iaitu isu untuk menghalalkan perbuatan haram mereka. Sama seperti Amerika yang membedil Afghanistan, kerana mendakwa Osama ben Laden berada di negara tersebut.

Selepas kejadian itu, segala kekejaman puak Rakhine bermaharajalela. Krisis ini menjadi semakin parah dan berlarutan apabila ia bertukar menjadi lebih ganas dan brutal dengan pembunuhan etnik Rohingya secara berkumpulan oleh puak Rakhine. Etnik Rakhine mengambil kesempatan ini untuk melunaskan dendam mereka terhadap bangsa Rohingya ini yang telah disimpan sejak sekian lama. Lebih memburukkan keadaan adalah apabila diberitakan bagaimana pihak tentera dan polis yang rata-ratanya juga beragama Buddha turut bekerjasama dalam pembersihan etnik Rohingya ini.

Laporan daripada Amnesty International menyatakan bahawa kemungkinan ribuan umat Islam Rohingya telah disembelih oleh puak pelampau Rakhine. Pelarian Rohingya ke Bangladesh mendakwa bagaimana pihak polis, tentera dan etnik Rakhine menembak penduduk kampung dengan begitu bersahaja tanpa rasa bersalah. Tambah menyedihkan ialah wanita Islam tidak dibenarkan memakai hijab dan ramai di antara mereka yang ditindas, dirogol dan sebagainya. Bukan itu sahaja, malahan masyarakat Islam di sana turut dinafikan hak dari segi perubatan samada di hospital mahupun di klinik-klinik dan mereka dipaksa membayar dengan harga yang terlampau tinggi untuk setiap kos rawatan yang ingin mereka dapatkan.

Ada Apa Dengan Rohingya?

Menurut sejarah, etnik Rohingya sudah lama menetap di Burma (nama lama bagi Myanmar) yang berjiran dengan tanah Bengal ketika itu (Bangladesh belum lagi tertubuh). Mereka ini sudah lama menetap di Arakan, sehinggalah penaklukan oleh orang-orang Burma yang menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri ke Chittagong, daerah di bawah kekuasaan British yang berjiran dengan Arakan. Arakan adalah wilayah yang sedang bergolak sekarang ini. Dan secara mudahnya, etnik Rohingya merujuk kepada golongan Muslim yang pernah menetap di Arakan, dan kemudian berhijrah ke Chittagong sebelum kembali semula ke Arakan.

Semasa penjajahan British di India, pihak British telah menggalakkan orang-orang Bengal, terutamanya dari Chittagong untuk berhijrah ke Arakan untuk menguruskan dan bercucuk-tanam di sana. Disebabkan British memerlukan tenaga buruh murah untuk menguruskan tanaman padi di Burma, kemasukan imigran dari Bengal ke Burma meningkat dengan mendadaknya. Untuk rekod, penghijrahan yang berlaku ini melibatkan seluruh wilayah di Burma dan tidak hanya terhad di Arakan sahaja. Akibat penghijrahan secara berjemaah ini, orang Bengal menguasai ekonomi dan sosio-politik di Burma. Hal ini telah menyemai rasa inferior dan rasisme di kalangan penduduk peribumi Burma.

Kebencian orang Burma terhadap orang-orang Rohingya bertambah parah ketika penaklukan Jepun di Asia. Orang-orang Rohingya majoritinya menyokong pakatan yang antara lainnya terdiri daripada pihak British, manakala etnik Rakhine menyokong penuh penjajahan Jepun ke atas Burma. Akibat daripada perbezaan ideologi ini, ribuan etnik Rohingya dibunuh dengan kejamnya oleh kedua-dua pihak Rakhine dan tentera Jepun. Ramai orang-orang Rohingya melarikan diri ke Chittagong.

Semasa pemerintahan junta tentera pula, nasib orang-orang Rohingya bertambah buruk. Di bawah pemerintahan kuku besi Jeneral Ne-Win, operasi tentera dilakukan berskala besar dan bersistematik terhadap golongan minoriti di Burma. Antara operasi yang paling ganas adalah Operasi Raja Naga. Untuk rekod, bukan orang-orang Rohingya di Burma sahaja yang menjadi mangsa diskriminasi ini, tetapi golongan minoriti yang lain juga seperti orang Kokang dan Cina Muslim.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, etnik Rohingya adalah salah puak atau bangsa minoriti yang teraniaya sekali di dunia ini. Mereka tidak punya negara atau pemerintahan sendiri. Tiada negara yang mahukan mereka. Malah di Myanmar sendiri, mereka perlu meminta izin setiap kali mahu berkahwin atau keluar daripada kampung halaman mereka! Kehidupan mereka sehari-hari amat sinonim dengan kedhaifan, penderitaan dan kesengsaraan.

Isu yang dihadapi oleh masyarakat Rohingya lebih kepada proses penghapusan etnik oleh Rakhine, sama seperti mana di Bosnia dan Chechnya satu ketika dulu.

Dunia Yang Bisu, Tuli Dan Buta

Seperti yang boleh diduga, apabila sesuatu tragedi atau krisis yang melibatkan umat Islam, pastilah reaksi yang diberikan masyarakat antarabangsa lembab dan berkelajuan kura-kura Pulau Galapagos lagaknya. Yang lebih menyedihkan, reaksi dan tindak-balas daripada masyarakat Islam di seluruh dunia juga di tahap itik pulang petang. Lazimnya pemimpin Islam di setiap negara akan mengeluarkan kecaman itu dan ini, amaran itu dan ini. Ada juga beberapa pemimpin Islam yang lantang mengeluarkan kenyataan keras mengecam tindakan kerajaan Myanmar di bawah pimpinan Jeneral Thein Sein yang seakan-akannya redha dengan tindakan ganas etnik Rakhine terhadap umat Islam Rohingya.

Tambah memalukan Bangladesh selaku jiran yang terdekat menolak dengan tegas pelarian Rohingya yang mahu menyelamatkan diri mereka dan berlindung di negara mereka. Malah, mereka tidak mengaku yang etnik Rohingya ini ada apa-apa pertalian dengan mereka. Sheikh Hasina, Perdana Menteri Bangladesh ketika diwawancara oleh Al-Jazeera berkaitan isu pelarian Rohingya ini dengan bersahaja menyatakan bahawa membantu atau menyelesaikan krisis pelarian Rohingya bukan tanggungjawabnya. Sedangkan sehingga kini, Bangladesh sudah pun menampung lebih 300,000 pelarian Rohingya sedia ada.

Sudah, apa alasan yang mahu kita berikan nanti kepada Tuhan ketika menghadap-Nya di mahkamah agung Mahsyar nanti?

Entah mengapa, seolah-olahnya seluruh rakyat Myanmar yang beragama Buddha merestui upacara pembersihan etnik ini. Hal ini adalah antara kesan dendam kesumat puak Rakhine terhadap Rohingya sejak sekian lama, rentetan dasar dan polisi pihak British yang melebihkan kaum pendatang. Juga pendekatan yang diambil oleh pihak junta tentera yang menjadikan Buddha dan perkauman sebagai senjata untuk mereka terus berkuasa.

Kenyataan Jeneral Then Sein dalam menjelaskan pendirian kerajaan Myanmar terhadap isu Rohingya ini sedikit sebanyak merumuskan persepsi masyarakat awam di Myanmar terhadap umat Islam Rohingya. Ujarnya, “Kita mahu menghantar semua orang Rohingya ke mana-mana negara yang sudi mengambil mereka.”

Lebih mengejutkan dan menyedihkan adalah bagaimana Aung San Suu Kyii, yang selama ini dilihat sebagai jaguh demokrasi dan pencinta keamanan turut diam membisu dalam isu ini. Beliau yang pernah memenangi Anugerah Nobel Keamanan, apabila diasak tentang isu Rohingya dan ditanya apakah wajar mereka ini diberi taraf kerakyatan, hanya mampu untuk menyatakan, “Saya tidak bertanggungjawab.”

Pilihanraya tahun 2015 dilihat sebagai punca utama kepada kebisuan, kebutaan dan ketulian ini. Parti yang dianggotai oleh Suu Kyii amat bergantung kepada sokongan orang-orang Buddha untuk memenangi pada pilihanraya kali ini. Kemudian di sebalik kelam-kelibut wilayah Arakan yang sedang bergolak dan reaksi dunia Islam yang amat mengaibkan, tiba-tiba muncul Turki sebagai wira membela umat Islam Rohingya. Turki secara konsisten dan keras sekali mengecam kerajaan Myanmar atas layanan buruk mereka terhadap umat Islam Rohingya.

Terbaru, isteri kepada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdoğan, Emine Erdoğan, bersama-sama dengan Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoğlu, telah mengadakan lawatan kemanusiaan ke Myanmar, bersama-sama dengan bantuan kemanusiaan dan kebajikan untuk umat Islam Rohingya. Walaupun dari segi geografinya, kedudukan Turki di Eropah seolah-olahnya tiada kena-mengena dengan umat Islam di Myanmar, hal ini jelas telah membuktikan betapa persaudaraan sesama Islam itu merentasi sempadan dan negara.

Tindakan kerajaan Turki ini dilihat amat bijak, signifikan dan menyebelahi kerajaan pimpinan Erdogan, bukan sahaja di mata umat Islam malah di mata dunia. Semenjak misi Flotilla ke Gaza dua tahun lepas, Turki sudah mula menunjukkan taringnya di pentas politik antarabangsa. Turki kini tidak lagi dilihat sebagai sebuah negara lemah yang terkinja-kinja mahu menjadi ahli Kesatuan Eropah. Tetapi kini ia dilihat sebagai sebuah negara yang berotot tegap dan boleh diharap dalam membela nasib umat Islam. Dunia kini sedang memerhatikan Turki dengan begitu berhati-hati sekali.

Ya, negara-negara lain seperti Arab Saudi, Indonesia malah Malaysia sendiri telah menyatakan pendirian tegas mereka terhadap isu Rohingya ini. Pelbagai jenis tabung kemanusiaan juga dilancarkan oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan kebajikan. Namun tiada satu pon yang dapat menandingi aura dan kesan jangka panjang seperti yang telah dilakukan oleh Turki. Syabas Turki!

Saya kongsikan di sini beberapa tindakan yang boleh kita ambil Insya-Allah. Semuanya saya kira praktikal dan berada di dalam ruang lingkup kemampuan kita.

  • Pastikan anda sentiasa update dengan isu-isu dan perkembangan terkini. Luaskan pembacaan dan sumber rujukan anda, bukan sekadar maklumat yang dapat dibaca dari sumber tempatan. Lakukan sedikit anjakan paradigma. Lakukan carian di internet untuk mengetahui perkembangan yang terkini. Antara laman sesawang yang menyediakan hapdet terkini tentang nasib umat Islam Rohingya adalah http://www.rohingya.org. Percayalah, masih ramai sahabat-handai, pakcik-makcik kita di luar sana yang tidak tahu-menahu tentang nasib umat Islam Rohingya ini. Tetapi pastikan maklumat yang bakal anda kongsikan dan sebarkan adalah maklumat yang boleh dipercayai dan disokong oleh fakta dan realiti. Jangan semborono tekan butang ‘Like’ dan ‘Share’ di laman Facebook anda tanpa mengesahkan dulu fakta dan berita yang dipaparkan. Kerana ada di antara maklumat bersifat prejudis, meruntuhkan bukan membina.
  • Sumbangan ikhlas untuk umat Islam Rohingya. Pasti sudah banyak tabung-tabung khas dilancarkan untuk tujuan ini. Tetapi, di pihak anda, pastikan anda lakukan sedikit kajian tentang badan-badan kebajikan yang ingin anda salurkan sumbangan itu. Pastikan mereka adalah badan yang terpercaya dan berkredibiliti. Anda tidak mahu sumbangan anda itu digunakan untuk tujuan atau kepentingan yang lain.
  • Ramai orang Islam etnik Rohingya yang sudah menetap dan bekerja di Malaysia. Sekiranya anda berpeluang berjumpa dengan mereka, santunilah mereka. Berborak mesra dengan mereka dan tunjukkan kepada mereka, sebagai saudara seaqidah sedarah agama dengan mereka ini, anda sebenarnya cakna dan peduli dengan nasib umat Islam Rohingya di Myanmar yang sedang menderita. Mungkin anda boleh juga menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka dengan cara ini, untuk disampaikan kepada keluarga mereka di Myanmar, itupun sekiranya ada asas untuk anda benar-benar percaya kepada mereka ini.
  • Sertai protes atau demonstrasi aman yang ada bagi membantah polisi kerajaan Myanmar pimpinan Jeneral Then Sein.
  • Berdoa. Jangan sombong dan malas untuk titipkan doa bukan sahaja untuk umat Islam Rohingya, tetapi juga saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Somalia, Sudan, Afghanistan, Chechnya, Kashmir, Libya, Bahrain dan seluruh dunia. Doa adalah senjata orang-orang Mukmin. Yakinlah padaNya, Insya-Allah suatu hari nanti pasti nasib umat Islam seantero dunia akan terbela juga.
  • Dakwah dan tarbiyah. Tiada cara lain untuk mengembalikan kegemilangan Islam kepada tempatnya yang hak, melainkan dengan kita sendiri bersungguh-sungguh mahu menyebarkan kebenaran dan mahu menegakkan keadilan di muka bumi ini. Hanya dengan tarbiyah sahaja kita dapat menyedarkan dan mendidik masyarakat tentang peri pentingnya pemerintahan Islam yang selayaknya.
  • Jangan sesekali tinggalkan Usrah, kerana di dalam Usrah-lah individu-individu Muslim yang akan mengembalikan semula Ustaziyatul Alam dibentuk. Hanya apabila Islam sudah tertegak di muka bumi ini penderitaan umat Islam akan berakhir!

Saya kira tujuh langkah ini sudah cukup untuk cuba kita praktikkan, bagi menunjukkan solidariti kita terhadap umat Islam Rohingya. Bukan sahaja untuk mereka, tetapi juga untuk kita umat Islam seluruh dunia. Sekurang-kurangnya kita punya hujah dan alasan di Mahsyar nanti, apabila ditanya apa yang telah kita lakukan demi meringankan penderitaan dan kesengsaraan saudara-saudara kita yang tidak bernasib baik seperti kita ini.

By khairazahra Posted in Umum

baHaya kEtaGih maiN viDeO

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Topik yang saya nak kongsikan hari ini ialah tentang permainan di alam maya @ lebih mudah difahami sebagai permainan video. Saya tertarik membincangkan isu ini sebaik sahaja terbaca tentangnya di sebuah akhbar tempatan. Lagi pula sudah lama  saya menyimpan keinginan untuk membicarakan tentangnya.

Allah telah berfirman kepada RasulNya SAW:
“Ingatlah Tuhan di dalam hatimu dalam keadaan rendah hati dan takut, dan bukan dengan suara keras di waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau tergolong ke dalam kumpulan orang-orang yang lalai.” (Al-A’raf 205)
 
Ketagihan bermain permainan video ini adalah salah satu trend permainan kanak-kanak masa kini. Berbanding dahulu, anak-anak zaman ini lebih rela menghabiskan sebahagian besar daripada masa mereka untuk permainan video. Hobi yang akhirnya menyebabkan ‘ketagihan’ ini dikatakan menjadi salah satu punca mereka mengalami masalah gagal menguasai kemahiran bersosial dan berkomunikasi.

 

Menurut Pensyarah Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Khaidzir Ismail, sindrom itu berlaku akibat kurangnya pendedahan dan pergaulan dengan masyarakat, yang mana akhirnya mereka akan menjadi pendiam dan lebih gemar bersendirian. Selain itu juga ketagihan ini dikatakan boleh membawa kepada masalah lain seperti kemerosotan kesihatan dan pengurusan diri serta masa yang tidak teratur.

Dari sudut psikologi pula, beliau menyatakan bahawa ciri ketagihan permainan video sama seperti ketagihan lain iaitu keinginan yang sangat tinggi untuk mendapatkan sesuatu yang dikehendaki. Faktor yang mendorong ketagihan tersebut berpunca daripada unsur ganjaran dan sikap ingin mencapai tahap tertinggi dalam satu-satu permainan video.

Lebih buruk lagi  segelintir daripada mereka bukan sahaja bermain video di rumah, malahan sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk ke kafe siber. Menurut Khaidzir juga, ketagihan yang sama di kafe siber juga membimbangkan kerana kanak-kanak terdedah kepada kemungkinan terlibat dengan kejadian jenayah seperti samun dan dadah.

Pada awal tahun ini seorang remaja mati mengejut di sebuah kafe siber di Taiwan akibat kemaruk bermain permainan video selama 40 jam tanpa henti.

Pada bulan lepas, seorang remaja Amerika Syarikat berusia 15 tahun dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri selepas bermain permainan video selama empat hari tanpa henti.

Pegawai Psikologi Kanan Universiti Sains Islam Malaysia, Nurhazreen Mohd. Nor turut mengulas perkara yang sama. Menurut beliau, selain kanak-kanak, ia juga memberi kesan buruk kepada orang dewasa. Tidak terkecuali sindrom yang sama boleh menyebabkan tekanan dalan hubungan suami isteri akibat kurangnya rasa hormat antara satu sama lain.

Ketagihan permainan video ini dilihat bukan sahaja memberi kesan negatif  kepada hubungan kita dengan persekitaran tetapi lebih utama adalah mengganggu hubungan kita dengan Allah. Pengurusan masa yang sering terabai ditambah dengan keinginan untuk mencapai tahap tertinggi dalam sesuatu permainan video adalah menjadi punca seseorang meninggalkan dari melaksanakan tanggungjawab lain kepada Allah seperti mengerjakan solat.

Adalah sangat penting ibu bapa atau ahli keluarga memberikan perhatian dan sokongan kepada ahli keluarga yang mempunyai masalah ketagihan permainan video. Sesebuah institusi kekeluargaan perlulah mempunyai seseorang yang bertindak sebagai perancang untuk mengembalikan interaksi sesama ahli keluarga termasuk menghentikan tabiat ketagih permainan video ini.

Walaupun kita mampu memberikan sesuatu pembelajaran yang terbaik untuk anak-anak kita supaya mereka tidak ketinggalan dalam pembangunan arus teknologi semasa, tetapi kita sering mengabaikan pendidikan psikologi dan rohani mereka dalam menghadapi pelbagai lagi isu besar pada masa hadapan.  

Kemajuan teknologi dan kepakaran haruslah diaplikasikan untuk tujuan pembangunan kreativiti, inovasi dan kecemerlangan ummah disamping membangunkan taraf hidup manusia. Janganlah dek kerana nikmat kemajuan yang diberikan Allah ini semakin melalaikan serta menjauhkan kita dari mendapat keredhaan-Nya.

wassalam.

By khairazahra Posted in Umum

khaSiaT kUrMa

Sabda Rasulullah SAW:

“Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.”

 
“Rumah yang tidak ada kurma di dalamnya, akan menyebabkan penghuninya kurang sihat”.

Abu Abdillah berkata:

“Buah kurma adalah salah satu buah yang berasal dari syurga dan dapat mensirnakan pengaruh sihir”.

Imam Ja’far Ash-Shadiq berkata:

“Barangsiapa memakan 7 buah kurma yang baik, maka cacing-cacing yang ada di perutnya akan mati”.

Kurma merupakan sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis.

Dikalangan penduduk di negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang sangat digemari. Kurma juga menjadi makanan wajib menjelang ramadhan. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai rahsia dan khasiat yang banyak serta menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : “Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakan buah-buahan dengan kurma masak”. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :“Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda :

“Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu”.  

Khasiat kurma “Ajwah” sepertimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri dengan tangan mulia Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Buah kurma mempunyai pelbagai khasiat jika dikaji dari sudut sains, antaranya vitamin A, kalsium dan zat besi yang tinggi.

Sebiji buah kurma menandingi khasiat dan energi seekor ayam.Sesuai untuk berbuka puasa kerana tubuh memerlukan karbohidrat dan gula (glucose) yang sememangnya banyak terkandung dalam buah kurma. Pada kurma selain rasa manis juga mengandung karbohidrat yang mudah dicerna tubuh. Oleh karena itu kurma sangat digalakkan dimakan ketika berbuka puasa agar tubuh menjadi cepat pulih atau segar seterusnya memberi tenaga segera kepada tubuh.

Khasiat kurma benar-benar memberi manfaat kepada manusia. Amalkanlah pemakanan kurma sama ada di waktu sahur , mahupun berbuka. Semoga kita mendapat berkat dan rahmat daripada Allah SWT.

Oleh : http://belogfadah.blogspot.com

FiLem-fiLeM h0LLywo0d yaNg mENdeDahKan tRagEdi 11 sEpTembEr..!

Oleh : Takusahrisau

Bukan satu atau dua atau tiga, tetapi berbelas-belas buah filem Hollywood seakan-akan telah mendedahkan kepada kita semua bahawa tragedi 11 September bakal terjadi sebelum ia benar-benar berlaku pada tahun 2001. Sedangkan sekian banyak bangunan atau mercu tanda lain yang lebih gah kepada rakyat Amerika seperti Statue of Liberty, bangunan Chrysler dan bangunan-bangunan sekitar Wall Street, mengapa perlu menfokuskan kepada bangunan berkembar WTC.

Seakan-akan telah berlaku konspirasi ‘pembasuhan minda’ kepada masyarakat dunia melalui filem terbitan Hollywood.

 

Terminator 2: Judgement Day(1991)

Semasa aksi kejar mengejar antara John Connor(Edward Furlong) dan T-800(Arnold Schwarzenegger) dengan T-1000(Robert Patrick), Connor dan T-800 melintasi sebuah jejambat yang tertulis Caution 9-11 !

 

Enemy of the State(1998)

Edward ‘Brill’ Lyle (Gene Hackman) telah menyatakan secara terperinci tarikh lahir seorang yang bernama Reynold, Thomas Brian yang tepat 9 September.

 

New York Vs Homer Simpson (1997)

Sebuah episod Simpson telah ditayangkan empat tahun sebelum kejadian 11 September. Episod tersebut menyaksikan bagaimana sebuah majalah tertera tulisan ‘New York $9′ dan lukisan menara berkembar WTC di sisi bawah tulisan $9. Secara logiknya, kita boleh kaitkan bahawa New York dengan lokasi kejadian 11 September manakala tulisan $9 dan lukisan menara berkembar WTC yang membentuk nombor ’11′ adalah tarikh kejadian tersebut berlaku.!

 

Super Mario Bros(1993)

Dalam filem Super Mario Bro, sebuah adegan menyaksikan bangunan bahagian selatan WTC ‘diruntuhkan’ seakan-akan mengetahui bahawa bangunan tersebutlah yang runtuh terlebih dahulu sebelum menyaksikan bangunan bahagian utara runtuh semasa tragedi 11 September.

 

Godzilla(1998)

Tertera nombor 7: 17: 39: 11 semasa seorang wartawan membuat liputan di dalam helikopter. Kepada sesiapa yang mengetahui hal ini, 717 adalah nombor pesawat Boeing 717 , nombor 3 adalah 3 buah pesawat yang terlibat dalam 11 September manakala 9 11 adalah tarikh kejadian 11 September. Adegan seterusnya melihatkan kepada kita jam seorang pelakon yang menunjukan waktu 8.55, namun ia sebenarnya merujuk kepada nombor pada jarum jam tersebut iaitu 9 dan 11.

 

Gremlim 2(1990)

Dua orang wartawan seakan-akan mendekatkan mikrofon masing-masing yang tertera nombor 9 dan nombor 11.

 

Armageddon(1998)

Countdown sebelum perlancaran roket ke angkasa tertera nombor 9 dan 11.

 

Die Hard(1988)

Jelas terpampang bangunan berkembar WTC terbakar. Filem-filem siri Die Hard banyak memberi petanda kejadian 11 September.

 

Independence Day(1996)

Jeff Goldblum meneliti laptopnya untuk melihat kiraan masa. Kamera close up menunjukkan angka 09 : 11 : 01. Ia menepati tragedi terjadinya peristiwa 11 September 2001.

 

Traffic(2000)

Sewaktu kain yang membungkus kotak yang dipenuh dadah diselak, tertera angka 911. Apakah kaitannya dengan tragedi 11 September? Sudah tentu ia bermaksud 11 haribulan 9 atau 11 haribulan September(September eleven).

 

Peacemaker(1997)

Sewaktu aksi kejar mengejar antara aktor George Clooney dan Nicole Kidman dengan penyagak daripada Yugoslavia, terpampang jelas di belakang Clooney papan tanda berangka 9 dan 11.!

 

Matrix(1999)

Passport Neo(Keanu Reeves) tertera tarikh luput 11 September 2001 yang bertepatan dengan tarikh tragedi 11 September iaitu 11 September 2001.

Adakah sekian banyak filem yang menyatakan secara langsung dan tidak langsung ini dipandang remeh kerana menganggap ia adalah kebetulan? Apapun, tepuk dada tanya selera. Selera pembaca yang menentukan adakah ia hanya sebuah kebetulan yang lazim berlaku dalam sesebuah filem atau ia sememangnya telah dirancang untuk merealisasikan agenda ‘pembasuhan minda’ oleh Hollywood.